Menjalankan korban Nabi_Ibrahim_a.s.

Menurut riwayat, Nabi Ibrahim AS pernah menyembelih korban sehingga 1,000 ekor bebiri, 300 ekor lembu, dan 100 ekor unta. Walau bagaimanapun, baginya tidak cukup dalam mengorbanannya kepada Allah sehingga beliau bernazar "...seandainya aku mempunyai anak lelaki, pasti akan ku sembelih kerana Allah dan aku korbankan kepada-Nya."

Ucapannya itu dibuat ketika isterinya, Sarah masih belum mengandung. Selepas Ibrahim menikahi Hajar dan dikurnia seorang anak iaitu Ismail, Ibrahim diseru Allah melalui mimpinya untuk memenuhi nazarnya itu. Beberapa malam beliau bermimpi yang sama dan akhirnya beliau yakin bahawa mimpi tersebut bukanlah mimpi daripada syaitan. Ketika itu, usia Ismail lebih kurang 7 tahun (ada yang berpendapat 13 tahun).

Setelah meminta Hajar mempersiapkan Ismail dengan pakaian dan berpenampilan terbaik, Ibrahim dan Ismail berangkat menuju ke suatu lembah kosong (kini di daerah Mina) dengan membawa tali dan sebilah pisau.

Dalam perjalanannya menghampiri tempat korban, Iblis memujuk dan menggoda Ibrahim untuk mengasihani anaknya lalu meninggalkan nazarnya itu. Tiga kali cubaan iblis tetapi tidak berjaya dilayan Ibrahim malah Ibrahim (sesetengah riwayat, Ismail) mengutip batu kerikil di tanah dan melempar batu itu ke arah Iblis setiap kali godaan itu berlaku hingga buta mata kirinya. Maka, Iblis pun pergi dengan hampa. Di sini bermula sejarah melontar jamrah dalam ibadah haji.

Sesampai di Mina, Nabi Ibrahim berterus terang kepada Ismail seperti yang difirman Allah:

Maka ketika anaknya itu sampai bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar".

al-Quran, Surah As-Saffat ayat ke-102

Ismail turut berpesan kepada ayahnya untuk mengikatnya dan memalingkan wajahnya agar tidak timbul simpati di hati ayahnya itu. Di samping itu, dia meminta menajamkan pisau agar mudah dan cepat prosesnya. Ismail juga meninggalkan pesan untuk disampaikan kepada Hajar, ibunya. Setelah mendengar pesan itu, Nabi Ibrahim bersedia lalu menjalankan proses penyembelihan tersebut. Dengan kuasa Allah, Allah menggantikan Ismail dengan seekor haiwan gantian yang besar dan haiwan itulah yang sebenarnya menjadi korban.

Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan bahawa pisau tersebut tidak dapat melukakan langsung leher Ismail, ada pula yang leher Ismail telahpun dipotong tetapi bertukar kepada haiwan tersebut dan ada pula yang menyatakan belum sempat pisau dilalu, Ismail telah ditukar.

Walau apapun, kisah ini dikisahkan dalam al-Quran As-Saffat ayat 102-109.